• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Usah Tangguh Apabila Berpeluang Tunai Haji

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

Setiap Muslim hendaklah menguatkan azam untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci

MEMANDANGKAN ibadat haji adalah wajib bagi setiap Muslim, apabila sudah ada kemampuan iaitu perbelanjaan cukup, tubuh badan sihat, tiada sebarang gangguan dalam perjalanan yang perlu dibimbangi, ilmu cukup di dada, maka hendaklah segera menunaikannya tanpa berlengah-lengah lagi.

Pesan Rasulullah SAW bermaksud, "Sesiapa yang mempunyai bekalan dan kenderaan yang boleh menyampaikannya ke Baitullah, tetapi dia masih tidak menunaikan haji (dengan ketiadaan uzur syarie sehingga dia meninggal dunia) maka tiada halangan baginya mati sebagai seorang Yahudi atau Nasrani." – (Hadis At-Tirmizi dan Al-Baihaqi)




Walaupun begitu, masih ada juga segelintir masyarakat Islam yang sudah ada kemampuan namun enggan menunaikan haji. Mereka beralasan 'belum sampai seru', umur masih terlalu muda, banyak urusan bersifat duniawi yang perlu diselesaikan seperti perniagaan, penternakan dan sebagainya.

Alasan mereka sebenarnya sangat mengelirukan. Pada hal manusia tidak sedikitpun diberi pengetahuan mengenai apakah yang akan berlaku pada masa akan datang, mungkin dirinya jatuh sakit, boleh jadi akan mengalami kekurangan harta atau tidak mustahil meninggal dunia sehingga terhalang daripada menunaikan ibadat haji.

Rasulullah SAW memberi peringatan agar tidak bertangguh jika ada kesempatan untuk melakukan kebajikan. Daripada ibnu Umar katanya, Rasulullah SAW menepuk bahuku serta bersabda: "Hendaklah engkau jadi di dunia ini seolah-olah berdagang di negeri orang atau sebagai orang yang melintasi jalan". Ibnu Umar berkata: "Jika kamu berada di waktu petang janganlah kamu tangguh ke waktu pagi dan jika kamu berada di waktu pagi janganlah kamu tangguh ke waktu petang. Rebutlah kesempatan sewaktu kamu sihat sebagai persediaan waktu engkau sakit dan ketika engkau masih hidup sebagai bekalan ketika engkau mati." – (Hadis Bukhari)

Sesungguhnya ibadat haji memerlukan kekuatan fizikal, mental dan material. Orang yang ingin mengerjakan haji perlu mempersiapkan diri menghadapi pelbagai kemungkinan dan ujian. Lantaran sekiranya tiada keazaman tinggi dan iman kental, mengakibatkan seseorang mudah kecewa, putus asa dan menganggap ibadat haji sukar dilaksanakan.

Seharusnya jiwa padat dengan kesabaran yang kuat, reda dengan ketentuan Allah di samping senantiasa berdoa kepada-Nya agar haji dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya dan memperoleh haji mabrur dan ganjarannya sangat besar sebagaimana sabda junjungan besar Nabi SAW bermaksud: "Haji yang mabrur itu tidak ada ganjarannya melainkan syurga." – (Hadis Bukhari)

Sesungguhnya ibadat haji memerlukan kekuatan fizikal, mental dan material. Orang yang ingin mengerjakan haji perlu mempersiapkan diri untuk menghadapi pelbagai kemungkinan dan ujian. Lantaran sekiranya tiada keazaman tinggi dan iman kental, menyebabkan seseorang mudah kecewa, putus asa dan menganggap ibadat haji sukar dilaksanakan.



Kunjungan ke Baitullah akan mendapat pelbagai manfaat bagi muslimin sebagaimana dijelaskan Allah: "Supaya mereka menyaksikan berbagai manfaat bagi mereka". – (Surah al-Hajj: 28)

Antara manfaatnya ialah menunjukkan kecintaan dan ketaatan tidak berbelah bagi, mengabdikan diri ikhlas semata-mata kepada Allah, mengikrarkan tauhid bersama-sama, menyuburkan keimanan dan ketakwaan.

Hal ini terjelma melalui lafaz doa, zikir, takbir, tahmid dengan keras sehingga didengar oleh orang yang dekat atau jauh, menjiwai maknanya, merealisasikan dalam setiap amalan sehari-hari.

Dalam perhimpunan besar umat Islam di tanah suci, tidak ada lagi timbul perbezaan taraf, bangsa dan budaya. Semuanya sama di sisi Allah sebagai hamba-Nya seperti bentuk dan warna pakaian ihram yang dipakai oleh setiap yang mengerjakan haji.

Di samping itu, muslimin boleh saling kenal-mengenal, berwasiat, nasihat-menasihati atas dasar kebenaran, bantu membantu, membimbing tata cara mengerjakan haji, berdakwah dan sebagainya. Ini semua manfaat diperoleh melalui ibadat haji.

Demi mencari keredaan dan kebenaran serta keselamatan di dunia dan di akhirat, setiap Muslim hendaklah menguatkan azam agar suatu hari nanti dapat menjejakkan kaki ke Tanah Suci bagi menyempurnakan Rukun Islam Kelima, dengan giat bekerja mengumpul harta secara halal dan selalu berdoa kepada-Nya.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)