• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Ibadat Haji Lambang Sejarah Rasul, Kesamarataan

Soal Jawab Agama: Ibadat haji lambang sejarah rasul, kesamarataan

zaman@nstp.com.my
Soalan:
KITA mengetahui setiap perintah Allah SWT mempunyai hikmah tersendiri. Dalam ibadat haji pula, banyak perkara yang dilakukan seperti tawaf, sai, melontar jamrah dan ibadat sunat lain ketika di Tanah Suci. Apakah hikmah tersembunyi yang boleh diambil dari rukun Islam kelima itu?

Huzairy,
Kota Bharu, Kelantan.

Jawapan:
Allah SWT memerintahkan supaya setiap jemaah haji berniat ihram kerana memuliakan Tanah Haram dan bumi Makkah selaku tempat yang paling mulia di sisi Allah SWT. Mereka juga tidak dibenarkan melakukan perkara keji didalamnya walaupun melakukan perkara yang harus ketika berada di luar seperti memakai wangian, memotong kuku, memburu dan sebagainya.



Dengan memakai pakaian ihram yang sama melambangkan kesatuan umat Islam tanpa mengira bangsa dan keturunan. Pemandangan ini tidak dapat dilihat pada hari-hari lain. Pakaian ini juga sama seperti kain kafan putih ketika si mati dibawa bertemu Allah SWT pada Hari Kiamat. Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Nabi SAW memakai pakaian ihram dari Madinah dan meniatkannya di Miqat bernama Zul Hulaifah. Mereka yang berihram menuju ke Makkah yang dijanjikan keamanan oleh Allah SWT daripada ketakutan dan kelaparan. Firman Allah, "Di sana ada tanda-tanda kemuliaan yang nyata dan sesiapa yang masuk ke sana akan mendapat ketenteraman" (Ali-Imran: 96)

Tawaf di Kaabah pula adalah kerana adanya Baitullah dengan pakaian yang sama bagi mengingatkan kita mengenai kematian yang pasti bagi setiap yang hidup. Ini juga untuk menyatakan bahawa semua manusia adalah sama di sisi Allah SWT melainkan mereka yang bertakwa. Ada riwayat menyatakan Nabi SAW mengucup Hajarul Aswad sebelum melakukan Tawaf Qudum.

Mengucup Hajarul Aswad adalah pelengkap kepada ibadat tawaf di Kaabah kerana mengikut perbuatan Nabi SAW jika memungkinkan kita berbuat demikian. Nabi SAW mengucup sebelum bermulanya tawaf dengan meletakkan kedua bibir Baginda sambil menangis dan berkata kepada Saidina Umar yang bersamanya, "Wahai Umar, di sinilah tempat terkumpulnya dosa". Ada riwayat mengatakan bahawa asalnya batu ini berwarna putih dan bertukar menjadi hitam dengan dosa manusia.

Selepas selesai tawaf, Nabi SAW bersolat di belakang makam Ibrahim dengan dua rakaat sunat Tawaf dan meminum air Zamzam sambil berdoa ke ada Allah SWT lalu berjalan ke Bukit Safa untuk bersai. Sai antara Safa dan Marwa adalah bagi menghidupkan peristiwa Hajar berulang alik sebanyak tujuh kali bagi mencari sumber air yang diperlukan. Begitu juga berlari anak padanya seperti dilakukan Nabi SAW bagi menzahirkan kekuatan dan kecerdasan kaum Muslimin.

Doa Nabi Ibrahim ketika meninggalkan Hajar: "Wahai Tuhan, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari keturunanku di sebuah lembah yang kering kontang di sisi rumah-Mu yang diharamkan mencerobohnya. Wahai Tuhan kami, semuanya agar mereka mendirikan solat dan memakmurkannya. Oleh itu, jadikanlah sebahagian dari hati manusia tertarik ke sana dan kurniakan rezeki dari berbagai jenis buah-buahan agar mereka bersyukur" (Ibrahim: 37).

Wukuf adalah salah satu rukun haji yang mesti dilakukan jemaah haji. Sejarah membuktikan bahawa hari itulah Allah SWT menyempurnakan nikmatnya kepada kaum Muslimin dan menjadikannya hari raya untuk mereka. Allah SWT berfirman, "Pada hari ini Kami sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku sempurnakan nikmatku ke atas kamu dan Aku reda bahawa Islam ialah agama bagi kamu" (Al Maidah:3).

Bermalam di Muzdalifah yang ada padanya Masyha'ril Haram, tempat berkumpulnya manusia selepas wukuf bagi menghabiskan satu malam di sana seperti yang dilakukan Baginda SAW. Suasana tenang dalam kegirangan dengan segala nikmat yang dikurniakan Allah SWT sehingga fajar menyinsing.

Melontar jamrah adalah simbolik kepada kemenangan Nabi Ibrahim dan Ismail daripada gangguan syaitan. Begitulah perbuatan yang dilakukan Ibrahim dan Ismail ketika menghalau Iblis Laknatullah.

Menyembelih korban adalah mesej bagi menyatakan kesyukuran kita terhadap nikmat Allah SWT ke atas Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail serta seluruh kaum Muslimin. Ia juga bagi menghidupkan nikmat yang besar atas kejayaan dari ujian yang begitu hebat.

Di sinilah bermulanya keturunan yang membawa kepada Nabi yang terakhir (Muhammad SAW). Di sinilah Nabi SAW menghadiahkan seratus unta untuk dikorbankan serta menyembelih dua kambing untuk dirinya dan keluarga dan satu untuk umatnya.

Umrah pula adalah ibadat ringkas bagi mereka yang menziarahi Baitullah kerana tidak memberatkan bagi kaum Muslimin. Allah mengharamkan bagi mereka meninggalkan Makkah tanpa melakukan ibadat. Jadi yang lebih ringan dari ibadat haji adalah umrah.

Penulis ialah Eksekutif Unit Agama NSTP, boleh dihubungi melalui e-mel: zaman@nstp.com.my

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)