• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Tak Sempurna Iman Jika Abai Hubungan Baik Sesama Jiran Tetan

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

2010/07/06
ISLAM sebagai cara hidup memberi fokus kepada setiap perkara membabitkan keperluan umatnya termasuk adab hidup berjiran kerana selain keluarga, seseorang mukmin diingat supaya menjaga serta memelihara hubungan dengan jiran tetangga.

Semangat kejiranan dalam masyarakat negara ini secara umumnya dilihat masih kental namun, tidak dinafikan wujud persekitaran di mana sikap tidak mengambil kisah mengenai kebajikan jiran sekeliling semakin ketara. Justeru, masyarakat perlu menghayati kembali suruhan agama supaya memelihara hubungan kejiranan sebagai satu cara ke arah perpaduan ummah. Tambahan, kawasan perumahan kebanyakannya dihuni penduduk pelbagai bangsa. Nabi SAW menunjukkan contoh teladan membina kerukunan hidup berjiran termasuk mengambil berat dan hidup rukun bersama jiran tetangga.

Dikisahkan pada suatu hari Rasulullah SAW berkunjung menemui Abu Zar yang sedang memasak kuah lalu Baginda berkata: “Wahai Abu Zar , jika kamu memasak perbanyakkanlah airnya. Kemudian, berilah jiran tetanggamu daripada masakanmu itu dengan baik.”

Islam menekankan hubungan baik sesama tetangga demi melahirkan suatu kehidupan dalam masyarakat yang harmoni. Mungkin barang yang kita sedekah atau berikan kepada jiran tidak seberapa tetapi nilai ganjaran pahala di sisi Allah sangatlah besar.

Di samping itu, pemberian seumpama itu juga akan mencetuskan nilai kasih sayang sesama manusia. Jibril selalu berpesan kepada Nabi SAW mengenai jiran dan tidak sempurna status iman seseorang seandainya tidak berbuat baik terhadap jiran.
Sabda Baginda SAW bermaksud: “Sesiapa beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia berbuat baik kepada jirannya. Dan sesiapa beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia menghormati tetamunya. Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia berkata yang baik dan hendaklah ia diam.” (Hadis riwayat Muslim)

Pesanan Nabi SAW menunjukkan bahawa kehidupan seseorang mukmin tidak sempurna pada kaca mata Islam seandainya hubungan dengan jiran tetangga tidak dipelihara dengan baik serta hidup dalam harmoni.

Perubahan zaman menyebabkan masyarakat khususnya yang tinggal di bandar kurang berinteraksi dengan jiran. Kesibukan kerja dengan waktu tidak menentu mendorong melakukan hal masing-masing.

Bagaimanapun, itu bukan alasan mengetepikan tanggungjawab terhadap jiran kerana pasti ada cara bermesra dengan jiran yang tinggal di sebelah atau berhampiran rumah kita. Senyum atau melambai tangan sudah memadai untuk memberitahu jiran kita mengenali mereka.

Bagi perumahan berpagar yang mempunyai perkhidmatan kawalan keselamatan, semangat kejiranan boleh dipupuk melalui pertubuhan Jawatankuasa Persatuan Penduduk yang bertanggungjawab mengambil berat kemaslahatan penduduk taman berkenaan.

Melalui persatuan penduduk juga, pelbagai program dapat digerakkan bagi mengeratkan hubungan dan penduduk juga jangan mengasingkan diri atau enggan membabitkan diri dalam program kemasyarakatan yang dianjurkan.

Kehidupan berjiran secara positif seperti dianjurkan Islam mampu mencegah jenayah dalam masyarakat setempat. Ini kerana semua pihak harus mengambil berat dan saling membantu. Keadaan seperti ini menyukarkan pihak yang ingin melakukan jenayah seperti kecurian.

Pembinaan masyarakat yang harmoni dan aman tenteram dengan amalan berjiran yang baik seharusnya diperkasakan oleh setiap umat Islam. Jangan biarkan kepentingan diri menenggelamkan hubungan dengan jiran tetangga.

Umat Islam dilarang menyakiti jiran termasuk bukan Islam walaupun mereka bersikap sombong atau tidak mesra. Sebaliknya, tunjukkan contoh yang baik dan sentiasa mengambil berat keperluan jiran serta membantu apabila diperlukan.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 1991 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)