• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Musibah, Dugaan Uji Ketaatan Umat Terhadap Pencipta

Oleh Mohd Shukri Hanapi

Insan sabar dijanjikan anugerah lebih baik, balasan pahala

KETIKA ini, ramai penduduk di Perlis, Kedah dan Kelantan diuji Allah SWT dengan musibah banjir teruk sejak seminggu lalu. Ada dikalangan mereka terpaksa dipindahkan ke pusat penempatan banjir demi keselamatan. Di pusat penempatan banjir, sudah tentu kurang selesa jika dibandingkan keselesaan ketika berada di kediaman sendiri. Sebenarnya inilah yang dikatakan musibah ditentukan Allah SWT semata-mata untuk menguji hamba-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesungguhnya akan Kami berikan ujian kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 155)

Kemudian Allah SWT menjelaskan mengenai orang yang sabar itu dalam firman yang bermaksud: “(Iaitu) mereka yang apabila ditimpa musibah lalu berkata sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada-Nya (Allah) jugalah (tempat) kami kembali.” (Surah al-Baqarah, ayat 156)

Allah SWT menyatakan setiap hamba-Nya akan diuji dan ujian itu berlaku dalam pelbagai bentuk seperti bencana alam, kematian, kekayaan, kemiskinan, kesihatan dan kesakitan. Ini untuk membuktikan siapakah yang penyabar serta tetap bertuhankan Allah SWT dalam apa juga keadaan.

Jadi, jelaslah bahawa orang yang sabar itu tetap beriktikad bahawa diri mereka hamba dan milik Allah SWT walaupun ditimpa musibah berat. Malah, mereka sentiasa mengharapkan balasan pahala daripada Allah SWT dan sentiasa takut azab-Nya.

Ibn Kathir dalam tafsirannya menjelaskan: “Dengan melafazkan ayat ini menunjukkan seseorang itu menerima segala musibah yang menimpanya dan mengakui bahawa dirinya adalah hamba dan milik Allah SWT. Allah SWT berkuasa melakukan apa saja ke atas para hamba-Nya.”

Untuk memperkukuhkan lagi tafsirannya, Ibn Kathir membawakan hadis antaranya yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud: “Umm Salamah berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Tiada seorang pun daripada kalangan orang Islam yang ditimpa musibah, lalu ia melafazkan apa yang diperintahkan oleh Allah (iaitu firman Allah SWT ayat 156 surah al-Baqarah yang bermaksud):
“Sesungguhnya kami adalah hamba dan milik Allah dan kepada-Nya kami akan dikembalikan. Ya! Allah berilah pahala bagiku dalam musibahku ini dan gantikanlah untukku yang lebih baik daripadanya, melainkan Allah menggantikan baginya dengan yang lebih baik.”

Umm Salamah berkata: “Ketika Abu Salamah meninggal dunia, aku sering bertanya kepada diriku sendiri, orang Islam manakah yang lebih baik daripada Abu Salamah? Dialah orang yang pertama hijrah kepada Rasulullah SAW. Pertanyaan itu sering aku mengulanginya, lalu Allah menggantikan untukku Rasulullah SAW sendiri.”

Umm Salamah berkata: “Baginda SAW mengutuskan Hatib bin Balta‘ah untuk melamarku bagi dirinya sendiri. Lalu Umm Salamah berkata lagi: Aku sudah mempunyai seorang anak perempuan dan aku seorang wanita yang kuat cemburu.”
Jawab Baginda: “Mengenai anak perempuannya kita doakan semoga Allah SWT cukupkan segala keperluannya dan aku mendoakan semoga Allah SWT hilangkan rasa cemburunya itu.”

Berdasarkan kefahaman hadis itu, balasan Allah SWT atas kesabaran Umm Salamah yang diuji dengan kematian suaminya Abu Salamah, ialah beliau dikahwini oleh Rasulullah SAW.

Hadis lain yang diriwayatkan Imam Ahmad bin Hanbal, yang bermaksud: “Abu Sinan berkata: Setelah aku mengebumikan anakku, aku masih berada di kubur. Tiba-tiba datang Abu Talhah al-Khaulaniy lantas memegang tanganku dan membawa aku keluar sambil berkata: Adakah engkau suka sekiranya aku menceritakan sesuatu yang mengembirakanmu? Jawab Abu Sinan: Baiklah.”

Lalu Abu Talhah berkata bahawa al-Dahhak bin Abd al-Rahman bin ‘Azib menceritakan kepadaku daripada Abu Musa katanya: “Sabda Rasulullah SAW bahawa Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wahai Malaikat Maut, engkau telah mencabut nyawa seorang anak daripada hamba-Ku, engkau telah mengambil buah hatinya dan anak kesayangannya. Jawab Malaikat Maut: Ya! Lalu Allah SWT berfirman: Apa yang ia kata (ketika kematian anaknya itu)? Jawabnya: Ia memuji Engkau dengan berkata kami ini adalah hamba dan milik Allah dan kepada-Nya kami akan dikembalikan. Maka Allah SWT berfirman: Binalah untuknya sebuah rumah di dalam syurga dan berilah namanya dengan Bait al-Hamd.”

Walaupun anak kesayangannya meninggal dunia, Abu Sinan tetap memuji Allah SWT dan sebagai balasan, dibina sebuah rumah untuknya dalam syurga.

Jelaslah ujian Allah SWT ini untuk melihat kekuatan akidah hamba-Nya, sama ada hanya bertuhankan-Nya dalam keadaan senang-lenang saja atau terus betuhankan-Nya dalam apa juga keadaan sekalipun.

Orang yang berjaya menempuhi ujian Allah SWT dengan penuh kesabaran, akan dianugerahkan balasan pahala. Malah, Allah SWT akan menggantikan sesuatu yang hilang itu dengan sesuatu perkara lebih baik.

Oleh itu, umat Islam hendaklah mempunyai akidah yang betul iaitu bahawa semua makhluk yang wujud di atas muka bumi ini adalah hamba dan milik Allah. Sebaik saja mengaku bahawa kita sebagai hamba dan milik Allah SWT, kita hendaklah meredai apa juga ketentuan yang menimpa.

Sebenarnya, di sebalik musibah itu ada hikmah yang besar yang kita sendiri tidak mengetahuinya. Maka tabahkan hati menghadapi kesukaran, kesulitan dan penderitaan supaya mampu menempuh banyak lagi penderitaan pada masa akan datang.

Orang yang tabah sentiasa diberikan perlindungan dan rahmat oleh Allah SWT. Jiwa yang sering melalui proses ujian semakin lama semakin teguh, kerana sentiasa digembleng dan disaring oleh zaman.

Mangsa banjir besar di Perlis, Kedah dan Kelantan ketika ini diharapkan dapat menempuh musibah itu dengan banyak bersabar. Mudah-mudahan hasil kesabaran itu, Allah SWT akan berikan ganjaran pahala dan gantikan segala harta benda yang rosak dengan harta lain yang lebih baik.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)