KEPERCAYAAN kepada Tuhan yang disertai dengan ajaran, ibadat dan kewajipan yang bertalian dengan kepercayaan itu disebut agama. Agama merupakan gejala universal dalam kehidupan manusia.
Sebahagian besar umat manusia di bumi ini, dengan pelbagai latar belakang etnik, geografi, iklim dan budaya menganut salah satu agama. Agama telah ada sejak manusia ada dan menjadi bahagian tidak terpisah daripada kehidupan manusia.
Meskipun kini ilmu pengetahuan dan teknologi mengalami kemajuan pesat, manusia tetap memerlukan agama. Ilmu pengetahuan dan teknologi tidak dapat memberi jawapan tentang erti dan tujuan hidup manusia yang hanya dapat dijawab oleh agama.
Pada masa ini, kecenderungan manusia moden untuk kembali kepada agama semakin kuat. Kekhuatiran bahawa agama akan tinggalkan ternyata tidak terbukti. Agama tetap diperlukan oleh manusia sepanjang masa.
Motivasi beragama
Ada pelbagai jenis motivasi yang membuat manusia memeluk sesuatu agama. Manusia memerlukan agama untuk meminta perlindungan daripada Tuhan atas ketidakpastian yang dihadapinya dalam mengharungi kehidupan ini.
Manusia juga memerlukan penjelasan atas pertanyaan tentang erti, asal
dan tujuan hidup. Jawapan kepada
semua itu hanya boleh didapati daripada agama.
Selain itu, manusia beragama untuk memperoleh pembenaran praktik hidup yang baik dan berguna daripada agama. Dorongan untuk hidup secara baik dikuatkan oleh adanya motivasi beragama.
Motivasi untuk beragama ialah untuk memperoleh peneguhan tata nilai etika dan moral melalui agama. Dengan agama, manusia mendapat dorongan dan kekuatan dalam melaksanakan nilai moral yang baik dan menjauhi nilai buruk dalam kehidupan.
Din
Agama dalam bahasa Arab disebut din. Selain bererti agama, kata din juga mempunyai erti lain, iaitu “kekuasaan", “ketundukan", “kepatuhan", “balasan", "peraturan" dan “nasihat". Agama memang mengandungi peraturan
dan hukum yang harus dipatuhi manusia.
Agama mempunyai kekuasaan yang membuat manusia tunduk dan patuh kepada Tuhan. Orang yang tunduk dan patuh kepada Tuhan akan mendapat balasan baik daripada Tuhan, sementara yang tidak patuh akan mendapat balasan buruk daripada Allah SWT.
Al-Quran menggunakan kata din bukan hanya untuk Islam, tetapi juga untuk agama lain. Hal ini antara lain dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya (Muhammad SAW) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya Ia memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain walaupun orang- orang musyrik tidak menyukainya. (al-Saff: 9)
Kata “segala agama" (al- din kullih) dalam ayat ini adalah semua agama selain Islam. Jadi tidak benar bahawa din selalu merujuk kepada Islam. Kata din digunakan juga untuk agama lain.
Salah satu alasan manusia memeluk agama adalah untuk mendapatkan rasa aman. Dalam menghadapi pelbagai malapetaka dan berbahaya, ia merasa tidak berdaya, lalu memohon perlindungan kepada Tuhan. Ayat terakhir daripada surah al-Kafirun ayat keenam yang bermaksud: Bagi kamu agama kamu, bagi ku agamaku.
Teori agama
Secara garis besar, teori tentang bentuk agama tertua dapat dibahagi kepada dua. Teori pertama berpendapat bahawa agama tertua berbentuk paling sederhana, seperti dinamisme, animism, totemisme, kemudian politeisme dan terakhir monoteisme yang merupakan bentuk paling sempurna.
Menurut teori ini, agama adalah hasil pemikiran manusia, bukan berasal daripada Tuhan. Teori ini dianut oleh para sarjana sekular yang dipengaruhi teori evolusi.
Adapun teori lain mengatakan bahawa bentuk agama asli dan tertua adalah monotiesme yang berasal daripada
wahyu Tuhan. Sejak zaman Nabi
Adam a.s, manusia telah menganut monotiesme.
Dinamisme, animism, totemisme, politeisme dan bentuk lainnya
adalah penyelewengan daripada monotiesme.
Teori monotiesme ini dianut oleh umat Yahudi, Kristian dan Islam. Umat Yahudi ortodoks beribadat di hadapan Tembok Ratapan, yang menurut kisahnya merupakan sisa daripada kuil yang didirikan oleh Herodus (Pemerintah Baitul Maqdis pada zaman Nabi Isa a.s). Agama Yahudi merupakan salah satu agama monoteisme, yang mengakui hanya ada satu Tuhan.
Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila hantarkan pesanan anda di Hubungi Kami, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.